Monday, December 28, 2009

Hujung minggu di Felda Keratong, Pahang.

Minggu ini kami memenuhi jemputan kenduri di rumah seorang sahabat kami sewaktu di kolej dahulu yang berlangsungnya di Felda Keratong, Pahang. Dengan waktu perjalanan yang agak panjang, Haqimi demam pada malam hari semasa berada di sana. Mujur ada di bawa bekalan ubat buat Haqimi kerana sebelum tu Haqimi sememangnya kurang sihat.

Sampai di Keratong kami menginap di rumah sahabat buat Hubby yang pernah tinggal serumah dengan Hubby sewaktu bujang dulu. Ibu kepada sahabat Hubby itu kami membahasakan dirinya sebagai Opah. Haziq yang telah biasa menonton cerita Upin & Ipin tanpa segan silu memanggil Opah sehinggakan bila Opah hendak bersolat Haziq akan ikut bersolat sekali. Cuma apabila tiba malam hari kami berdepan dengan masalah berebut lampu suluh dengan Haziq. Bila di minta, Haziq akan cakap lampu suluh itu Haziq yang punya. Kami tidur di ruang tamu sebelah atas rumah. Bila di tutup lampu Haziq minta dibuka semula. Bila di tanya kenapa? Haziq kata Haziq takut. Jadi kami buka satu lampu supaya dapat menerangi sedikit ruang tamu tersebut. Tidak lama Haziq pun tidur. Mungkin sebab melihat kami semua telah lena.

Malam itu berjaga memantau panas badan Haqimi, lap dan selimutkan badan Haqimi dengan tuala yang dibasahkan dengan air suam berterusan. Takut juga jika suhu badan yang panas terlalu tinggi. Klinik jauh, lagi pun susah hendak mencari klinik yang dibuka di waktu malam begini. Keesokkan paginya Haqimi kelihatan agak keletihan. Selepas dimandikan Alhamdulillah Haqimi dapat bermain dengan abangnya walaupun Haqimi tidak berapa sihat lagi.

Kami mengiringi pengantin sewaktu disana. Dalam keadaan hujan yang renyai-renyai dan jalan yang agak basah dan becak sedikit dengan lumpur merah kami tetap redahi. Risau pula dengan keadaan Haqimi jika terkena tempias hujan, tetapi majlis tetap berlangsung dengan meriahnya suasana majlis di kampung.

Sekembalinya kami, dapatlah kami bawa Haqimi ke klinik untuk di periksa oleh Doktor. Mulut Haqimi ada sedikit ulser. Mula-mula kami agak bimbang sebab Haqimi tak mahu menyusu dan makan. Cuma malam semalam nampak sedikit perubahan sebab Haqimi sudah mahu menyusu kembali.

No comments: